22 Januari 2014

KD Kasturi Beroperasi Kembali

22 Januari 2014


KD Kasturi korcet milik TLDM (photo : Malaysian Defence)

TLDM kekal cemerlang

TAHUN 2013 menyaksikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengekalkan tahap pengoperasian aset yang tinggi dan telah melaksanakan semua misi yang diamanahkan.

Berikutan kenaikan peruntukan untuk Program Pertahanan Maritim sebanyak 4.83 peratus pada tahun itu, TLDM telah berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti penambahbaikan yang melibatkan pemodenan peralatan dan menaikkan taraf hidup warganya.

Dalam aspek operasi dan eksesais, TLDM telah melaksanakan sebanyak 323 operasi berkala pada tahun 2013. Selain operasi-operasi berkala tersebut, TLDM turut melaksanakan beberapa operasi khas bagi menangani situasi keselamatan maritim negara sepanjang tahun 2013.

Operasi-operasi tersebut adalah Ops Daulat, Ops Sekat dan Ops Terapung.

Pasukan itu juga terlibat dalam memberi perlindungan keselamatan kepada pekerja yang melaksanakan pembinaan dan pemasangan struktur tetap bagi penandaan titik pangkal sempadan negara dan pembinaan infrastruktur kekal yang terletak di permulaan timur Selat Singapura dan selatan Laut China Selatan.

Selain operasi-operasi ketenteraan, TLDM turut memberi bantuan kepada mangsa bencana alam melalui Ops Murni semasa banjir melanda pantai timur Semenanjung pada bulan Disember lalu.

Kesemua operasi ini telah dilaksanakan dengan cemerlang dan mencapai objektif operasi. Sepanjang tahun itu juga, TLDM telah terlibat dengan 20 siri latihan dan eksesais di dalam dan di luar negara.

Kesemua eksesais berkenaan dilaksana untuk mengekalkan kemahiran warga TLDM serta menguji keupayaan aset-aset ketumbukan berkenaan. Selain melatih warga TLDM, eksesais bersama negara-negara sahabat juga berperanan sebagai medium untuk mengekal dan mempereratkan hubungan diplomatik negara dengan negara-negara terbabit.

Sehubungan itu, adalah penting untuk eksesais-eksesais ini diteruskan pada masa hadapan.

KD Kasturi

Tahun 2013 turut menyaksikan beberapa perolehan aset baharu dan program pemodenan aset TLDM mula membuahkan hasil. Antaranya adalah pelancaran Kapal Latihan kedua TLDM iaitu ‘Teguh Samudera’, pengoperasian Simulator Kapal Selam Scorpene, penerimaan Misil SM39 Block 2 dan pengoperasian semula Kapal Diraja (KD) Kasturi selepas Program Pemanjangan Jangka Hayat selesai pada 20 November lepas.

Daripada segi pembangunan infrastruktur, sebanyak tiga projek pembangunan prasarana melibatkan Kompleks Bangunan Kolej TLDM (KDSI I), Projek Pembangunan KD Sri Sandakan Fasa Tiga dan Projek Peningkatan Jeti Operasi TLDM telah berjaya disiapkan pada tahun 2013.

Dalam bidang hidrografi, Pusat Hidrografi Negara (PHN) telah mendapat pelbagai pengiktirafan sebagai penguasa berkaitan hal-hal hidrografi negara. Ketua Pengarah Hidrografi telah dilantik untuk mempengerusikan pelbagai jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Hidrografi Negara (JHN).

Selain itu, PHN turut cemerlang dalam aktiviti-aktiviti berkaitan pengukuran dan pencartaan.

Dalam aspek bantuan logistik, sebanyak empat buah kapal dan sebuah stesen luar pantai telah menjalani penambahbaikan dan pasang pulih sepanjang tahun lalu. Tujuh buah kapal dan sebuah stesen luar pantai yang sedang menjalani pasang pulih pula dijangka siap pada tahun ini.

Selain itu sebanyak 13 buah kapal dan sebuah stesen luar pantai dirancang bakal memulakan rutin pasang pulih mengikut jadual masing-masing pada tahun ini.

Bagi meningkatkan kesejahteraan warganya, TLDM sentiasa berusaha menambah baik kemudahan infrastruktur pangkalan dan Rumah Keluarga di semua pangkalan TLDM. Sepanjang tahun 2013, TLDM telah membelanjakan sebanyak RM33.7 juta bagi menyelenggara dan memperbaiki kemudahan infrastruktur dan prasarana di semua Pangkalan TLDM.

TLDM juga telah mengekalkan langkah perbelanjaan secara berhemah yang mula diperkenalkan sejak tahun 2010. Hasil daripada perbelanjaan secara berhemah ini, TLDM telah berjaya membuat penjimatan sebanyak RM4 juta dalam perolehan dan perbelanjaan yang dibuat sepanjang tahun 2013.

Hasil penjimatan ini telah digunakan untuk menampung kos pembaikan kapal-kapal TLDM dan pembiayaan kursus-kursus terutamanya di bawah program Foreign Military Sales (FMS).

TLDM sentiasa menitikberatkan dan memberi tumpuan kepada aspek pengurusan sumber manusia. Penstrukturan semula organisasi TLDM. Pemutihan Penstrukturan semula organisasi ini turut melibatkan proses pemutihan perjawatan di seluruh organisasi TLDM. Dengan pelaksanaan pemutihan perjawatan ini, TLDM dapat memastikan kemahiran dan kepakaran warga TLDM dapat dioptimumkan.

Dalam meningkatkan taraf jawatan anggota dan pegawainya, TLDM turut memperolehi beberapa peningkatan taraf perjawatan yang telah dimohon sejak 2011.

Bagi merealisasikan konsep ‘right man for the job’, pembangunan billet prerequisite (BPR) yang bermula awal tahun 2011 telah berjaya diselesaikan. Sebanyak 15,575 prasyarat jawatan telah dibangunkan berdasarkan keperluan jawatan semasa.

Hasil pembangunan BPR, sebanyak 269 kursus kemahiran dan kepakaran telah dikenal pasti sebagai kursus mandatori BPR.

(Uusan)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar